SEJARAH SMKTB


Untuk memenuhi kehendak pendidikan negara, khususnya pendidikan di Negeri Terengganu, maka  pada 2hb. Januari 1961 sebuah sekolah telah diwujudkan oleh Kementerian Pendidikan di negeri ini. Sekolah ini diberi nama Sekolah Menengah Tengku Bariah, sempena nama Yang Amat Mulia Tengku Ampuan Muda Terengganu ketika itu.
Sekolah Menengah Tengku Bariah memulakan sidang pengajaran dan pembelajaran pada awal Januari 1961. Pada peringkat permulaan sesi persekolahan terdapat seramai 388 orang murid dan 15 orang guru sahaja. Encik Ang Boon Hooi dipertanggungjawabkan sebagai Guru Besar pertama.
Pada peringkat awal penubuhan sekolah ini tidak mempunyai bangunan sendiri.  Murid-muridnya terpaksa menumpang di bangunan Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu iaitu pada sesi petang. Keadaan ini tidak berlanjutan kerana pada 16 April 1961 Sekolah Menengah  Tengku Bariah mula beroperasi di bangunannya sendiri yang terletak di Lot  No.3480 Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu  dengan keluasan 11.636 ekar.
Bangunan yang dibina pada peringkat permulaan ini ialah sebuah bangunan dua tingkat yang mengandungi 10 bilik darjah, satu bangunan tandas dan sebuah kantin. Bangunan ini kemudiannya dinamakan Bangunan Cendana. Kini dinamakan Blok Al-Farabi
Di bangunan dua tingkat ini ditempatkan satu bilik untuk tingkatan tiga, tiga bilik untuk tingkatan dua, empat bilik untuk tingkatan satu, dan satu bilik untuk Kelas Peralihan. Kelas-kelas ini merupakan kelas yang pertama diwujudkan di Sekolah Menengah Tengku Bariah.
Apabila berbicara tentang Sekolah Menengah Tengku Bariah seharusnya tarikh 5 Oktober 1961 tidak dilupakan, kerana pada hari itu sekolah itu telah dibuka dengan rasminya oleh Yang Amat Mulia Tengku Ampuan Muda Terengganu  kemudian dikenali sebagai Duli Yang Maha Tengku Ampuan Besar Terengganu (Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Bariah binti Al Marhum Sultan Hishamuddin Alam Shah.)

Tahun 1963 menjadi tahun paling bersejarah kerana pada tahun ini beberapa peristiwa menarik telah berlaku. Antaranya:
Murid-murid tingkatan lima buat pertama kalinya menduduki peperiksan SC/FMC
Tiga  kelas aliran Bahasa Melayu telah dibuka tetapi setahun kemudian kelas-kelas ini telah berpindah ke Sekolah Menengah Padang Midin dan Sekolah Menengah Panji Alam.
Beberapa bangunan baru dibina seperti  bangunan dewan sekolah, bangunan makmal dan perpustakaan, bangunan Seni Perusahaan dan beberapa bilik darjah tambahan bagi menampung  bilangan pelajar yang semakin bertambah.
Pertambahan bangunan dan prasarana membolehkan sekolah ini mempunyai bilangan bilik darjah yang mencukupi untuk mengadakan  satu sidang pengajian sesi persekolahan pada tahun  1991/1992. Bermula pada 1 Januari 1998 Sekolah Menengah Tengku Bariah dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah.